Tuesday, August 24, 2021

juara dalam berpura-pura

 

Kalau kehidupan ini satu pertandingan yang panjang

Pasti aku juara

Kehadiran tubuh kecil ini mengubah suasana hangat kepada suram

Hanya dengan butir-butir perkataan yang dialun tanpa sengaja

Tak terbatas dengan rasa

Kerana jiwa dia kosong dengan rasa dan rasional


Kalau kehidupan ini satu pertandingan yang panjang

Pasti aku juara

Meninggalkan mereka yang cuba untuk berkongsi beban yang ditanggung

Ditinggalkan tanpa sepucuk surat bertintakan kalam ikhlas

Kerana baginya berkongsi rasa itu satu kelemahan


Kalau kehidupan ini satu pertandingan yang panjang

Pasti aku juara

Juara dalam berpura-pura


Pura-pura untuk tidak menerima

Tetapi hati menjerit untuk diterima

Juara dalam bersendirian

Tetapi jiwa memberontak diminta untuk dsinggahkan rasa

Juara dalam membunuh setiap rasa simpati dan empati

Tetapi mata kecil itu berteriak mahu dipandang


Sudahlah berpura-pura

Kehidupan ini tidak panjang seperti dijangka






Monday, December 17, 2018

Mungkin

Hari ni aku rasa sungguh bersalah. Aku tersalah menggunakan perkataan yang sepatutnya tak keluar dari mulut. Aku katakan perkara yang boleh mengguris hati bagi si pendengar.

Kenapa tak disimpan sahaja? Kenapa tidak digantikan dengan ayat lain?

Maaf tak sepatutnya ayat itu dituturkan.

Mungkin
Mungkin kalau tak disebut, mungkin semuanya okay

Mungkin kalau didiamkan sahaja, tidak ada yang terguris
Mungkin
Mungkin

Mungkin 

Perkenalan asing


Firda seorang jejaka yang sering bersendirian. Selama 27 tahun dia selesa sendiri tanpa ditemani sosok tubuh wanita di sisi. Menghabiskan sisa hujung minggu di kedai kopi favoritnya sambil menyelak lembut lembaran buku novel sastera. Seorang yang berhati lembut dan romantis tetapi karakternya dingin dan merdeka. 

Usai tahun 2018, dia dipertemukan dengan seorang wanita untuk menghabiskan zaman bujangnya. Perkenalan yang ringkas tetapi jiwa mereka seakan sudah dipertemukan lama dahulu. Perkenalan ringkas di dalam keretapi lewat senja itu mendorong mereka untuk mencapai kata dua. Dalila, manis tetapi kepalanya tidak pernah jinak. Ligat memikirkan perkara yang pekat likat dan bibirnya sering kali mempersoal "mengapa?" Mungkin itu karakter yang disukai oleh Firda, jejaka yang suka membaca dan dipertemukan dengan Dalila seperti jawapannya yang disimpan selama ini menemui kata soal - lengkap akhirnya. 

Namun tidak disedari sehinggalah pada tanggal bahagia bahwa 'jodohnya' itu sudah lama menyinggah. Perkara ini disedari pada saat bahagia di mana Dalila si manis berpakaian kurung berwarna putih berjalan membelakangi cahya silam. Membawa Firda ke 5 tahun dahulu di kedai kopi pada lewat petang dengan cahaya oren menyinar dibalik pecahan kayu bingkai pintu kedai tersebut. Sosok tubuh itu pernah menyinggah di kedai kopi favoritnya  membawa aroma bunga dahlia yang menipis dikaburi bauan kopi segar. 

Lucu kerana mereka sudah dipertemukan dahulu tanpa sedar. Batas masa dan ruang dicabuli dengan ungkapan "jodoh". Kaki itu mengatur langkah dengan tertib. Momen 3 minit Dalila menuju ke persandingan itu merangkumi detik pengenalan pertama mereka. Mata saling berpaut dan hati saling berbicara. Sungguh Dalila bukan pilihan yang salah, memang benar dia jodohku yang tidak asing lagi. 

Kenapa sekarang baru tersedar?



Friday, March 30, 2018

raja kayu

satu persatu kulit nipis ini kau toreh
toreh senipis mungkin
satu, dua, tiga lapis kau toreh

pisau lipat itu makin menipis
sudah bebal dengan kulit ku yang tebal
tebal makin tebal-
nipis makin nipis

toreh 
toreh--
toreh
kemudian kau kikir kulit nipis ini
bak kikir kayu damar
yang tak lut dek mata pisau

Nipisnya jiwa senipis kulitku
Hilangnya rasa seperti setumpul pisau lipat itu






Batas dan waktu

Pada pintu kayu itu tersimpan pelbagai rasa dan cerita
Memendam cerita lebih banyak dari yang dipendam oleh sang hati
Seperti senadi
Apa kisahnya pada pintu itu?

Bingkai pintu itu dibiarkan terbuka luas
Menanti kiriman khabar disampaikan sang angin
Sosok tubuh tua itu setia menanti, tidak pernah berganjak
Mengharap sebaris-dua disampaikan lekas

Mahu dikirimkan tinta tapi entah pada siapa
Dakwat deras menitik saat dituliskan alamat
Sehinggakan kering hanya pada awalan kata
Bisu sehingga tidak bisa diungkapkan
"Apa khabar dirimu di sana?"

Adakah tubuh kita makin menjauh?
Adakah kamu di zona waktu yang berbeda?
Adakah hati mu itu sudah berganjak pergi?
Adakah kamu sudah semakin lupa?
Tubuh tua yang makin keliru itu masih menanti

Di penjuru alam kelihatan malaikat menanti sepi
Merasakan dirinya bersalah
Membungkam sepi, antara mahu dikhabarkan atau tidak
Bibir itu terkunci untuk mengirimkan khabar berita
Sepasang mata yang kau rindui itu sudah lama menutup
Bibir yang berkata sayang itu sudah lama menyepi
Tubuh yang hangat dengan rasa itu sudah lama berehat

Dia yang kau nantikan itu sudah pergi
Aduh, gimana mahu dikhabarkan?
Pada tanggal pintu itu dibuka luas lewat malam nan pekat
Dalam sunyi tubuh itu berlalu pergi
Pergi bukan berlari
Juga bukan bersembunyi

Di saat tubuh tua itu menanti sepi
Ada dia di dibalik pintu rindu itu
Sayang, jarak dan zona masa kita tidak pernah terbatas.
Siulan cerita pada bingkai pintu itu
Akan ku dengarkan nanti